dan kini muncul pula filem yang sama versi indonesia. dan filem ini mengambil kira persekitaran kotaraya jakarta sebagai latarbelakangnya. dan sesuatu tidak dapat dielakkan, ramai yang membandingkan hasil karya kedua-dua filem untuk memilih yang manakah yang terbaik di antara filem-filem ini.
aku tidak mahu membandingkan secara keseluruhan. agak tidak adil memandangkan tidak banyak bezanya antara kedua-duanya walaupun untuk versi indonesia, ada 2 dari 5 kisah di dalam filem ini yang sudah dirombak. mungkin ada nilai-nilai yang berlainan walaupun budaya dan bahasa kedua-dua negara tidak jauh bezanya. namun aku ingin mengupas apa yang aku perolehi apabila menyaksikan kedua-duanya. kerana ternyata kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri.
menyorot kepada 'cinta' dan 'love' kita dipersembahkan dengan 5 kisah berbeza pada kedua-dua filem. dalam 'cinta' kita dipertemukan dengan watak-watak ini : mengenai Harris dengan isterinya Airin; hubungan Dyan dengan adiknya, Dhani; cinta Elyas seorang pesara guru dengan pemilik gerai, Rubiah; hubungan Azlan & Azura, dan hubungan Arianna & Taufiq - di mana semuanya saling berkait dan berlatar kota metropolitan Kuala Lumpur. sementara itu, dalam 'love' kita ada watak Nugroho, yang menghidap penyakit Alzheimer, and Lestari, seorang ibu yang harus menerima keadaan Nugroho apabila terlahir simpati dan cinta di hati; Rama, seorang lelaki yang misteri dan ada kisah lampau yang ditanggunginya dalam sikap kebisuannya , and Ilin, gadis naif yang mencari kekasihnya di Jakarta; kisah cinta pandang pertama antara Tere, seorang novelis, and Awin, seorang penjaga toko buku; kisah keberantakan rumahtangga antara Gilang and Miranda; and kisah cinta sejati antara Restu and Dinda yang menghidapi barah.
menurut kabir bhatia, 'love' tercetus bila beliau ingin memperbaiki kelemahan yang ada ketika beliau menghasilkan 'cinta'. dan untuk melahirkan cetusan idea itu, beliau memikirkan untuk menghasilkan filem yang sama, tetapi kali ini menggunakan pelakun-pelakun indonesia. atau mungkin sahaja, pasaran di indonesia lebih besar, sehingga beliau membawa sekali crew pembikinan filem terus dari malaysia.
jadi, apa yang harus aku katakan? kedua-duanya masih lagi bagus dan untuk memilih yang terbaik, aku kira itu bukan sesuatu yang tepat. aku lebih suka memperkatakan tentang watak-watak yang ada (dan sama) untuk mencari titik tepat untuk mengulas mutu kedua-dua filem. aku mulakan untuk membandingkan watak cikgu Elyas dan Rubiah dengan Nugroho dan Lestari. jalan ceritanya sama, tiada perubahan. cuma pada aku, Cikgu Elyas lebih hidup dibanding dengan Bapak Nugroho. ternyata Rahim Razali lebih 'hidup' dibandingkan dengan Sophan Sophiaan tetapi Widyawati lebih pandai bermain perasaan, dan dengan permainan mata yang lebih bernyawa dari Fatimah Abu Bakar. kalaulah Rahim Razali dan Widyawati digandingkan, aku kira kita akan memperolehi babak-babak yang lebih menarik. namun keseluruhannya dallam kisah ini, kedua-dua versi sama bagus, sama mengesankan.
bagi babak yang melibatkan pasangan suami isteri yang sedang menuju kehancuran rumahtangga, aku kira versi malaysia yang mengutarakan Rashidi Ishak dan Rita Rudaini lebih hebat penjiwaan wataknya dari lakunan lakunan Surya Saputra dan Wulan Guritno. krisis itu lebih membawa makna mendalam tentang persoalan tentang erti perceraian dan perpisahan. masih lagi mengekalkan watak tambahan, iaitu ketidakseimbangan perasaan anak perempuan yang sudah merasakan kehilangan kasih sayang, aku mengangkat versi malaysia mengatasi sentuhan lakunan dari indonesia bagi penceritaan kisah ini.
dan aku rasa kekuatan filem 'love' terserlah apabila kita dipertontonkan dengan lakunan Fauzi Baadilla dan Acha Septriasa, yang mana kedua-dua memainkan peranan sama berat dalam menguris perasaan kita tentang erti kehilangan cinta. dan Fauzi Baadilla yang agak egois tetapi puitis lebih bertenaga jika dibandingkan dengan apa yang diberi oleh Pierre Andre dalam versi malaysia. Pierre kelihatan kaku dan tiada cerita yang berkisar dengan masa lampaunya kenapa dia jadi manusia yang sebegitu.
jika dalam 'cinta' kita dihidangkan dengan kisah cinta(?) antara seorang adik dan kakak yang menderita akibat barah, 'love' pula membawa kisah cinta antara sepasang anak muda yang mana si gadisnya sedang menderita dengan serangan kanser. lakunan irwansyah dan laudya chintya bella sungguh mengesankan, dan meninggalkan jauh isu kasih sayang seorang kakak yang menyayangi adik tunggalnya. (sehingga sekarang, aku kebingungan dengan adanya watak-watak ini, kerana kepada diriku, ini cuma kasih sayang, dan bukannya cinta)
dan terakhir sekali, kita dihadapkan dengan kisah antara darjat, antara seorang penulis terkenal dengan seorang pekerja toko buku yang bercita-cita menjadi seorang penulis. jika dalam 'cinta' kita dibawa ke awangan dengan kisah seorang gadis pekerja kedai buku dengan seorang hartawan, aku merasakan versi indonesia lebih 'touching' kerana jalan ceritanya lebih 'down to earth' dari versi malaysia yang kemiripan kepada kisah cinderella.
selain dari perbandingan watak dan penghayatan cerita, aku juga melihat kepada beberapa aspek penting yang membezakan antara kedua-dua filem :
penulisan skrip - 'love' lebih berkesan dengan dialog-dialog yang cantik dan pengungkapan yang lebih puitis. mungkin itu kelebihan filem-filem indonesia kerana budaya mereka yang lebih keterbukaan dalam menyampaikan hasrat dan penggunaan bahasa yang lebih terkesan.
sinematografi - kedua-duanya memaparkan keindahan. tidak dinafikan kabir bhatia memang pandai bermain-main dengan pemandangan sekeliling yang mungkin biasa dengan kita, tetapi dia berjaya mencari 'kecantikan' dalam pandangan biasa kita semua. aku kira, 'cinta' lebih 'cantik' dari 'love' cumanya persekitaran kuala lumpur mungkin agak 'tenang' dari jakarta yang hiruk pikuk. namun babak yang paling cantik adalah bila dinda dan restu di restoran yang begitu dikelilingi suasana redup dan antik.
score, muzik dan original soundtrack - 'love mempunyai lebih kekuatan dengan muzik latarbelakang yang mengesankan. begitu juga dengan lagu 'sempurna' yang tercipta dengan 2 versi berbeza. namun 'cinta' juga mempunyai kekuatan dengan adanya lagu nyanyian anuar zain 'perpisahan ini'. yang mencacatkan tentang lagu di dalam 'cinta' apabila lagu nyanyian krisdayanti dan melly goeslow dinyanyikan oleh jac dan misha. seolah tiada originality. dan filem ini turut diiringi alunan muzik dari ‘The Bulgarian Symphony Orchestra - SIF 309 di bawah pimpinan pengarah muzik ternama yang juga dari Indonesia ERWIN GUTAWA.
wardrobe dan setting - 'love' mempunyai tema tersendiri dalam semua segmen ceritanya, ada warna purple, merah, putih dan kuning, sedangkan 'cinta' lebih berwarna-warni dengan pelbagaian warna. setting juga agak berbeza, kerana di dalam 'love' kebanyakan watak yang dimainkan adalah di kalangan peringkat 'pertengahan'. tidak terlalu mewah dan cerah. cuma di segi wardrobe, aku kira aku lebih selesa dengan 'love' ... ianya tampak lebih hidup walaupun fesyen yang digayakan agak asing dengan apa yang ada di malaysia.
jalan cerita - tiada keseimbangan antara kelima-lima kisah dalam 'love' sedangkan aku merasakan 'cinta' lebih seimbang dalam penceritaan cerita. walaupun jalan ceritanya agak sama, namun aku akui 'cinta' lebih tertib, kesemua segmen mempunyai imbangan masa yang sama, sedangkan dalam 'love' kisah lebih tertumpu kepada fauzi baadilla, acha septriasa, irwansyah dan laudya chintya bella. mungkin ini disebabkan mahu memberi ruang yang lebih luas kepada pelakun-pelakun muda yang terkemuka. sedangkan untuk watak-watak yang dibawa oleh Surya Saputra dan Wulan Guritno, serta Luna Maya dan Darius Sinathrya terlalu sedikit dan longgar.
itu yang aku saksikan, yang aku perhalusi tentang kedua-dua filem ini. harus aku peringatkan kepada semua, LOVE ADALAH FILEM MALAYSIA, YANG DILAKUNKAN OLEH PELAKUN INDONESIA DAN MENGGUNAKAN TENAGA PRODUKSI DARI MALAYSIA. DAN HANYA MENGGUNAKAN LAKUNAN DAN CIPTAAN MUZIK DARI INDONESIA. jangan memikirkan ini adalah salah satu filem indonesia, kerana kamu sudah salah membuat perhitungan. diperkatakan di akhbar di indonesia sana, filem ini adalah filem terhebat dan mendapat sambutan hebat di sana, walaupun ketika tayangannya, menerima saigan sengit dengan filem 'ayat-ayat cinta'' yang sememangnya ciptaan karyawan indonesia.
yang mana lebih hebat? terserah pada kamu untuk menilaikannya. namun bagi aku, kedua-dua bagus, cuma yang mungkin terkesan di sanubariku adalah 'LOVE"
antara 'l.o.v.e' dan 'cinta'
2 versi yang sama. satu dinamakan 'cinta' dan satu lagi 'love', yang membawa makna yang sama. dan yang menarikknya diarahkan oleh pengarah yang sama juga, en. kabir bhatia, seorang warganegara india. kedua-duanya mempunyai barisan pelakun yang terkenal di kedua-dua negara malaysia dan indonesia. dan ketika 'cinta' ditayangkan di malaysia dahulu, jelas ianya berjaya memancing ramai penonton menyaksikannya di panggung. dan akhirnya dinobatkan sebagai filem terbaik 2007.
About this entry
Youre currently reading antara 'l.o.v.e' dan 'cinta'.
- Published:
- pada 3:43 PM on 07 October 2008
- Category:
- filem
- Previous:
- Older Post
- Next:
- Newer Post

0 komentar: